Muzakarah Munsyi Dewan 2012

Muzakarah Munsyi Dewan telah diadakan di Institut Aminudin Baki, Genting Highland dari 28 November hingga 1 Disember 2009. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Profesor Dr. Haji Awang bin Sariyan merasmikan muzakarah itu. Selepas menyampaikan ucap utama, beliau menerima Anugerah Wira Cendekia Bahasa. Wakil Munsyi Dewan mengalungkan selempang Wira Cendekia Bahasa kepada beliau dan menyampaikan cenderamata senaskhah mashaf al-Quran beserta terjemahan dan catatan tajwid dan sepersalinan pakaian kebangsaan yang lengkap dengan kain songket.

Profesor Dr. Haji Awang mengulas pemberian anugerah itu dalam buku wajahnya. Beliau menulis, “Semoga kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan kita dalam jemaah Munsyi Dewan dapat menjadi landasan perjuangan kita untuk mengangkat maruah dan martabat bahasa sebagai tunjang tamadun.”

Dalam muzakarah itu beberapa kertas kerja dibentangkan termasuk daripada tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim, Profesor Dr. Teo Kok Seong dan Profesor Dr. Nor Hasimah Jalaluddin. Turut membentangkan kertas kerja ialah Encik Mohamad bin Musip, Encik Loon Guan, Tuan Haji Azdman bin Talib dan Puan Noar Aziah Ahmad Ghazali. Kegiatan ceramah dan forum diadakan juga dalam muzakarah itu.

Dalam pembentangannya yang bertajuk “Bahasa Melayu dalam Transformasi Pendidikan dan Peperiksaan di Malaysia”, Tuan Haji Azdman mengatakan bahawa Lembaga Peperiksaan Malaysia terus menggunakan istilah “bahasa Melayu”.

Dalam kertas kerja yang bertajuk “Isu Penggunaan Bahasa di Ruang Maya: Tugas Munsyi Dewan dalam Memenuhi Tuntutan dan Tuntunan Budaya Berbahasa Betul”, Encik Mohamad bin Musip menyarankan supaya Munsyi Dewan atau pendidik bahasa melaksanakan tuntutan kepada diri sendiri dan membimbing khalayak maya ke arah penggunaan bahasa yang betul di ruang maya seperti blog dan laman sosial.

Dalam buku wajahnya, Encik Mohamad menulis, “Selama ini, banyak pihak mempertahankan hujah bahawa bahasa di ruang maya perlu santai. Bagi saya, santai bermaksud bersederhana, tetapi usah sampai mengorbankan nilai betul dan indah yang ada pada bahasa Melayu. Ertinya, walaupun santai, nahunya perlu dijaga. Janganlah bahasa diremehkan semata-mata mencapai maksud komunikasi.”

Muzakarah itu juga memilih penggerak Persatuan Munsyi Dewan Malaysia. Munsyi Dewan zon utara, Tuan Haji Zainuddin Saidin terpilih sebagai pengerusi dan Munsyi Dewan zon tengah, Puan Noraziah Ahmad Ghazali sebagai naib pengerusi. Encik Mohamad bin Musip dari zon selatan terpilih sebagai setiausaha dan Puan Shamsul Mardiyyah Bahrum dari zon tengah terpilih sebagai naib setiausaha. Jawatan bendahari disandang oleh, Encik Abdul Ghalib bin Yunus. Turut dipilih ialah 12 orang ahli jawatankuasa biasa dan dua orang pemeriksa kira-kira.

This entry was posted in muzakarah. Bookmark the permalink.