Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan Jawi Siri 1

KUANTAN. 16 Jun 2014, bersamaan 18 Syaaban 1435H – Memperkasa dan memartabatkan tulisan Jawi khususnya dikalangan kakitangan bagi melahirkan pakar rujuk Jawi, justeru itu Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Majlis) dengan kerjasama Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan Jawi Siri 1 bertempat di Hotel MS Garden bermula pada 16 Jun sehingga 18 Jun 2014.
bengkel_jawi2_new_new

 Bengkel yang berlangsung selama 3 hari melibatkan seramai 50 orang peserta terdiri daripada kakitangan Majlis dan KIPSAS. Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah diberi pendedahan berkenaan memahami pelbagai aspek tulisan Jawi dalam bentuk teori dan praktikal dengan dijalankan ujian pada setiap akhir sesi pembelajaran bagi memastikan para peserta memahami pembelajaran yang telah disampaikan. Bengkel kendalian oleh Tuan Haji Azman bin Ahmad yang merupakan Pegawai Perancang Bahasa, DBP serta pakar dalam bidang tulisan Jawi telah berlangsung dengan jayanya.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis, YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan, turut serta Presiden KIPSAS, YH Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin dan Setiausaha Majlis, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain. YDH Dato’ Sri TYDP Majlis yang juga merupakan Pengerusi bagi Persatuan Jawi dan Seni Khat Pahang turut menghadiri sesi pembelajaran tulisan Jawi sepanjang bengkel tersebut berlangsung. Manakala, pada hari terakhir sesi bengkel, majlis penutupan berlangsung dengan penyerahan sijil kehadiran peserta, pemberian hadiah kepada 5 orang peserta yang mencatat markah terkumpul tertinggi dalam setiap ujian yang dijalankan serta penyampaian cenderahati penghargaan kepada penceramah bengkel. Bengkel lanjutan bagi siri 2 dan 3 dijangka akan diadakan pada bulan September dan November akan datang.

~(Sumber dari : Laman Web Rasmi Majlis Agama Islam dan Adat resam Melayu Pahang)

This entry was posted in bengkel. Bookmark the permalink.